Hilangkan Pedih Mata

Pedihnya apabila mata terkena cili. Jika cara membasuh mata dengan air tidak berkesan, ambil secubit garam dan kuyah. Rasa pedih akan beransur hilang.

Bersihkan Kerang

Potong pelepah pisang secara nipis. Ramaskan bersama kerang. Cuci dengan air sehingga bersih.

Jantung Pisang Tidak Hitam

Jantung pisang yang direbus kadang kala menjadi hitam. Untuk mengelakkan berlaku seperti itu, rebus jantung pisang bersama-sama dengan pucuk ubi.

Beras Pulut Lembutkan Daging

Daging yang keras menyukarkan proses memasak. Oleh itu ambil segenggam beras pulut dan masukkan ke dalam periuk yang digunakan untuk merebus daging. Dalam masa yang singkat, daging akan lembut. Cara ini juga boleh digunakan untuk melembutkan ayam kampung.

Hilangkan Gatal Keladi

Untuk menghilangkan rasa gatal pada keladi, masukkan sedikit kapur sirih atau buah pinang ketika masakan sedang menggelegak. Keladi juga akan mudah lembut dan lazat.

Tauhu Tidak Masam

Untuk mengelakkan tauhu menjadi masam, cuci tauhu dan lumurkan garam di seluruh permukaan tauhu. Kemudian simpan tauhu di dalam peti sejuk. Cara ini juga menjadikan tauhu tahan lebih lama.

Hilangkan Nasi Hangit

Caranya ambil sehelai daun pandan. Masukkan ke dalam sebuah mangkuk. Kemudian letak mangkuk berisi daun pandan tadi di tengah nasi yang hangit itu. Tutup rapat, setelah 20 minit barulah dibuka. InsyaAllah nasi tidak berbau hangit lagi.

Elak Belakang Kuali Hitam

Tip menggunakan kuali yang baru dibeli. Lumurkan minyak masak pada belakang kuali untuk elakkan hitam yang susah dicuci. Belakang kuali yang dilumur minyak lebih senang untuk ditanggalkan kotoran apabila dicuci. Bagi kuali lama, boleh minyak juga dilumurkan minyak sebelum memasak. Ini menyenangkan kerja-kerja mencuci setelah digunakan.

Elakkan Sengatan Ikan Keli

Ikan keli terkenal dengan bisanya, jadi untuk melemahkan dan mengelakkan terkena sengatan, taburkan garam ke atas ikan keli yang masih hidup itu. Biarkan seketika. Ikan keli tersebut akan lemah dan bolehlah dibersihkan.

Halau Semut

Cara mudah menghalau semut-semut dalam bekas gula ialah dengan menggunakan bawang putih. Ambil sebiji bawang putih dan dipecahkan. Masukkan ke dalam bekas berisi gula dan biarkan semut-semut tersebut keluar dengan sendirinya.

Kegunaan Sabun Mandi

Kegunaan lain sabun mandi ialah untuk menghilangkan daki pada pakaian seperti stoking, kolar dan lengan baju. Juga kesan peluh kuning pada ketiak baju. Jika pada stokin, sebaiknya direndam semalaman dengan sabun mandi, sental dan berus seperti biasa. Pada kolar, lengan dan ketiak baju, palitkan sahaja dan gosok dengan berus. Selesai menggosok, cucilah seperti biasa sama ada menggunakan mesin basuh atau cucian tangan.

Cili Jeruk Tahan Lama

Cili hendaklah dicelur seketika. Masak cuka dan garam sehingga mendidih. Biarkan sejuk dan kemudian barulah dimasukkan cili yang dicelur tadi.

Menghilangkan Hanyir Ikan Sembilang

Ikan sembilang yang disiang hendaklah dilumur dengan garam halus bersama limau purut. Masukkan sekali kulit limau dan gaul sekali dengan ikan. Kemudian cuci dengan air bersih. Apabila hendak menggoreng atau menyalai ikan, perah air limau purut, garam dan kunyit kerana ia boleh mewangi dan menyedapkan lagi ikan sembilang.

Cara Menyimpan Gula Melaka

Lebihan gula melaka yang kita guna lama-kelamaan akan lembik dan berair. Untuk menjadikannya tahan lama dan keras, masuk­kan kepingan-kepingan gula melaka di dalam tin yang berisi biskut tawar. Hasilnya, gula melaka itu akan tahan lebih lama.

Atasi Sinki Tersumbat

Sebenarnya garam kasar boleh berfungsi sebagai bahan pelarut bagi sisa-sisa yang tersumbat dalam saluran sinki. Masukkan garam kasar ke dalam lubang sinki dan kemudian curah dengan air panas. Pasti sisa-sisa tadi akan larut.

Cucur Pisang Cantik dan Sedap

Untuk mendapatkan cucur pisang yang cantik dan sedap, seeloknya pisang dikisar bersama gula sebelum diadun bersama tepung. Kemudian tutup dan biarkan adunan selama lebih kurang empat jam sebelum digoreng. Selain itu adunan tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk.

Lembutkan Jagung Rebus

Bagi mendapatkan jagung rebus yang lembut anda tidak perlu mencampurkan garam dalam rebusan jagung. Garam akan menjadikan jagung anda keras. Seeloknya, semasa hendak makan jagung rebus, sapukan mentega dan taburkan lada sulah sedikit. Tentu jagung rebus itu akan lembut dan sedap dimakan.

Hilangkan Warna Hitam Perut Lembu

Jika mengalami kesulitan menghilangkan warna hitam pada perut lembu, mudah sahaja. Hanya dengan menaburkan kapur sirih dan kemudian kita kikiskan. Kemudian cuci bersih, perut lembu tadi akan berubah menjadi putih. Untuk ia lebih cepat empuk, rebus de­ngan sedikit garam.

Elakkan Kelapa Mudah Basi

Untuk memastikan kelapa yang telah diparut tahan selama satu hingga dua hari ia perlu dikukus terlebih dahulu selama 10 minit. Setelah siap, masukkan ke dalam peti sejuk. Insya-Allah, kelapa itu akan tahan lebih lama.

Petua Melambatkan Daging Berbau

Ini ada salah satu petua untuk mengelakkan daging menjadi busuk. Orang dulu-dulu mana ada peti ais kan. Kalau mahu melambatkan daging menjadi busuk dan segar tanpa peti ais, bolehlah menaburkan gula ke atas daging tadi. Mahu gaul pun boleh juga.
Apabila mahu dimasak, basuhlah daging tadi dan ia akan jadi seperti daging segar. Tapi petua ini untuk menyimpan daging beberapa hari sahaja. Kalau terlalu lama, pasti daging yang disimpan itu akan berbau juga.

Copyright © 2008 - Petua Dapur - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template - Optimise by AdsenseBlogTemplate