Hilangkan Pedih Mata

12Nov2008

Pedihnya apabila mata terkena cili. Jika cara membasuh mata dengan air tidak berkesan, ambil secubit garam dan kuyah. Rasa pedih akan beransur hilang.

Bersihkan Kerang

12Nov2008

Potong pelepah pisang secara nipis. Ramaskan bersama kerang. Cuci dengan air sehingga bersih.

Jantung Pisang Tidak Hitam

12Nov2008

Jantung pisang yang direbus kadang kala menjadi hitam. Untuk mengelakkan berlaku seperti itu, rebus jantung pisang bersama-sama dengan pucuk ubi.

Beras Pulut Lembutkan Daging

12Nov2008

Daging yang keras menyukarkan proses memasak. Oleh itu ambil segenggam beras pulut dan masukkan ke dalam periuk yang digunakan untuk merebus daging. Dalam masa yang singkat, daging akan lembut. Cara ini juga boleh digunakan untuk melembutkan ayam kampung.

Hilangkan Gatal Keladi

12Nov2008

Untuk menghilangkan rasa gatal pada keladi, masukkan sedikit kapur sirih atau buah pinang ketika masakan sedang menggelegak. Keladi juga akan mudah lembut dan lazat.

Tauhu Tidak Masam

12Nov2008

Untuk mengelakkan tauhu menjadi masam, cuci tauhu dan lumurkan garam di seluruh permukaan tauhu. Kemudian simpan tauhu di dalam peti sejuk. Cara ini juga menjadikan tauhu tahan lebih lama.

Hilangkan Nasi Hangit

12Nov2008

Caranya ambil sehelai daun pandan. Masukkan ke dalam sebuah mangkuk. Kemudian letak mangkuk berisi daun pandan tadi di tengah nasi yang hangit itu. Tutup rapat, setelah 20 minit barulah dibuka. InsyaAllah nasi tidak berbau hangit lagi.

Elak Belakang Kuali Hitam

12Nov2008

Tip menggunakan kuali yang baru dibeli. Lumurkan minyak masak pada belakang kuali untuk elakkan hitam yang susah dicuci. Belakang kuali yang dilumur minyak lebih senang untuk ditanggalkan kotoran apabila dicuci. Bagi kuali lama, boleh minyak juga dilumurkan minyak sebelum memasak. Ini menyenangkan kerja-kerja mencuci setelah digunakan.

Elakkan Sengatan Ikan Keli

12Nov2008

Ikan keli terkenal dengan bisanya, jadi untuk melemahkan dan mengelakkan terkena sengatan, taburkan garam ke atas ikan keli yang masih hidup itu. Biarkan seketika. Ikan keli tersebut akan lemah dan bolehlah dibersihkan.

Halau Semut

12Nov2008

Cara mudah menghalau semut-semut dalam bekas gula ialah dengan menggunakan bawang putih. Ambil sebiji bawang putih dan dipecahkan. Masukkan ke dalam bekas berisi gula dan biarkan semut-semut tersebut keluar dengan sendirinya.

Kegunaan Sabun Mandi

12Nov2008

Kegunaan lain sabun mandi ialah untuk menghilangkan daki pada pakaian seperti stoking, kolar dan lengan baju. Juga kesan peluh kuning pada ketiak baju. Jika pada stokin, sebaiknya direndam semalaman dengan sabun mandi, sental dan berus seperti biasa. Pada kolar, lengan dan ketiak baju, palitkan sahaja dan gosok dengan berus. Selesai menggosok, cucilah seperti biasa sama ada menggunakan mesin basuh atau cucian tangan.

Cili Jeruk Tahan Lama

12Nov2008

Cili hendaklah dicelur seketika. Masak cuka dan garam sehingga mendidih. Biarkan sejuk dan kemudian barulah dimasukkan cili yang dicelur tadi.

Menghilangkan Hanyir Ikan Sembilang

24Okt2008

Ikan sembilang yang disiang hendaklah dilumur dengan garam halus bersama limau purut. Masukkan sekali kulit limau dan gaul sekali dengan ikan. Kemudian cuci dengan air bersih. Apabila hendak menggoreng atau menyalai ikan, perah air limau purut, garam dan kunyit kerana ia boleh mewangi dan menyedapkan lagi ikan sembilang.

Cara Menyimpan Gula Melaka

24Okt2008

Lebihan gula melaka yang kita guna lama-kelamaan akan lembik dan berair. Untuk menjadikannya tahan lama dan keras, masuk­kan kepingan-kepingan gula melaka di dalam tin yang berisi biskut tawar. Hasilnya, gula melaka itu akan tahan lebih lama.

Atasi Sinki Tersumbat

24Okt2008

Sebenarnya garam kasar boleh berfungsi sebagai bahan pelarut bagi sisa-sisa yang tersumbat dalam saluran sinki. Masukkan garam kasar ke dalam lubang sinki dan kemudian curah dengan air panas. Pasti sisa-sisa tadi akan larut.

Cucur Pisang Cantik dan Sedap

24Okt2008

Untuk mendapatkan cucur pisang yang cantik dan sedap, seeloknya pisang dikisar bersama gula sebelum diadun bersama tepung. Kemudian tutup dan biarkan adunan selama lebih kurang empat jam sebelum digoreng. Selain itu adunan tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk.

Lembutkan Jagung Rebus

24Okt2008

Bagi mendapatkan jagung rebus yang lembut anda tidak perlu mencampurkan garam dalam rebusan jagung. Garam akan menjadikan jagung anda keras. Seeloknya, semasa hendak makan jagung rebus, sapukan mentega dan taburkan lada sulah sedikit. Tentu jagung rebus itu akan lembut dan sedap dimakan.

Hilangkan Warna Hitam Perut Lembu

24Okt2008

Jika mengalami kesulitan menghilangkan warna hitam pada perut lembu, mudah sahaja. Hanya dengan menaburkan kapur sirih dan kemudian kita kikiskan. Kemudian cuci bersih, perut lembu tadi akan berubah menjadi putih. Untuk ia lebih cepat empuk, rebus de­ngan sedikit garam.

Elakkan Kelapa Mudah Basi

24Okt2008

Untuk memastikan kelapa yang telah diparut tahan selama satu hingga dua hari ia perlu dikukus terlebih dahulu selama 10 minit. Setelah siap, masukkan ke dalam peti sejuk. Insya-Allah, kelapa itu akan tahan lebih lama.

Petua Melambatkan Daging Berbau

24Okt2008

Ini ada salah satu petua untuk mengelakkan daging menjadi busuk. Orang dulu-dulu mana ada peti ais kan. Kalau mahu melambatkan daging menjadi busuk dan segar tanpa peti ais, bolehlah menaburkan gula ke atas daging tadi. Mahu gaul pun boleh juga.
Apabila mahu dimasak, basuhlah daging tadi dan ia akan jadi seperti daging segar. Tapi petua ini untuk menyimpan daging beberapa hari sahaja. Kalau terlalu lama, pasti daging yang disimpan itu akan berbau juga.

Petua Menyimpan Buah Strawberi

24Okt2008

Hati-hati dalam menyimpan buah ini, kerana strawberi yang sudah mulai busuk dapat menular dengan sangat cepat ke strawberi lain yang disimpan bersama.
Strawberi biasanya dapat tahan empat hari tetapi di dalam peti ais, kalau kena caranya, boleh tahan sehingga sebulan.
Atur buah secara satu-satu terpisah, lalu bekukan. Setelah beku, siram dengan air dan masukkan ke dalam plastik, dan dibekukan kembali.

Tips Memasak Pulut Kuning

24Okt2008

Rendamkan pulut semalaman agar elok kembangnya. Campurkan beberapa keping asam gelugur atau air kelapa, agar pulut kelihatan berkilat setelah dimasak.
Untuk mengelak pulut cepat basi, perah santan menggunakan air suam. Kemudian panaskan santan dengan garam. Tetapi jangan sampai mendidih.
Didih kukusan terlebih dahulu. Untuk mendapatkan pulut yang wangi, siat-siatkan daun pandan sebelum tanak atau mengukus.
Gaulkan santan dengan pulut ketika pulut masih panas, agar tidak melekat.

Hilangkan Minyak Lemak Haiwan

14Sep2008

Tentu kita merasa sukar untuk menghilangkan lemak minyak haiwan seperti lemak sup tulang dan kari kambing. Caranya mudah sahaja, sebelum mencuci, tuang atau rendam alatan dan pinggan mangkuk tersebut dengan air panas. Seterusnya bolehlah dicuci seperti biasa dengan menggunakan pencuci pinggan mangkuk.

Elak Lengkuas Kecut

14Sep2008

Simpan lengkuas didalam botol kaca atau plastik. Tapi sebelum itu isikan dahulu botol itu dengan sedikit air.

Gula Melaka Wangikan Beras

14Sep2008

Gula adalah makanan manis yang sering diganggu oleh semut termasuklah gula melaka. Bagi mengelakkan ancaman semut, simpan gula melaka di dalam bekas beras. Selain terhindar dari semut, ia juga boleh mewangikan beras.

Daun Kari Tahan Lama

14Sep2008

Mula-mula cuci daun kari dengan air. Selepas itu ceraikan daun kari itu dari tangkainya dan simpan di dalam bekas kedap udara. Daun kari akan tahan lebih lama dan boleh digunakan bila-bila masa.

Haruman Pandan Pada Pinggan Mangkuk

14Sep2008

Kadangkala pinggan mangkuk yang telah dicuci masih berbau walaupun telah dicuci dengan menggunakan sabun pencuci. Untuk mengelakkan pinggan mangkuk dicuci berbau, letakkan 5 hingga 6 helai daun pandan di tempat anda tos pinggan mangkuk yang baru dicuci. Hasilnya pinggan mangkuk tidak berbau hapak, malah lebih harum dengan haruman pandan.

Melembutkan Donat

14Sep2008

Rebus dua atau tiga biji ubi kentang. Lenyek ubi kentang yang direbus ke dalam bancuhan tepung. Pasti donat tetap lembut walaupun telah sejuk.

Perut(Babat) Lebih Cepat Masak

14Sep2008

Jika anda mahukan perut lembu/kambing dimasak dengan cepat, tambahkan dengan segenggam beras ketika merebusnya.

Ubi Kayu Hilangkan Hanyir

14Sep2008

Selepas menyiang ikan, sudah pasti tangan akan berbau hanyir dan kurang menyenangkan. Untuk menghilangkan bau tersebut, ambil isi ubi kayu yang telah diparut dan ramaskan pada tangan. Serta-merta bau hanyir akan hilang.

Bersihkan Tanda Hangus Pada Periuk

14Sep2008

Masukkan sedikit serbuk penaik dan sedikit air ke dalam periuk. Biarkan untuk beberapa jam dan kemudian bersihkan periuk seperti biasa.

Pau Lebih Enak

14Sep2008

Rebus daun pandan dan gunakan air rebusan tadi untuk membuat pau. Masukkan juga beberapa helai daun pandan dalam air yang digunakan untuk mengukus pau.

Hindari Bau Kulit Udang

14Sep2008

Siramkan kulit udang dengan air panas. Bungkus dan masukkan dalam plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah. Cara ini juga untuk menghindari kehadiran lalat.

Pisang Goreng Lebih Rangup

14Sep2008

Masukkan sedikit tepung kastard yang dicampurkan ke dalam tepung gandum. Apabila kedua-duanya sudah dibancuh sebati, masukkan pisang ke dalamnya dan goreng seperti biasa.

Jimat Gas Ketika Masak Bubur

13Sep2008

Rendam beras yang hendak dimasak selama 30minit sebelum dimasak. Selain dapat menjimatkan menjimatkan penggunaan gas, ia akan mempercepatkan proses memasak bubur selain bubur lebih empuk.

Hilangkan Lendir Ikan

28Jul2008

Ambil sedikit daun pisang dan masukkan ke dalam bekas yang berisi ikan yang telah disiang. Lalu ramas dan cuci ikan dengan air sehingga bersih.

Menghilangkan Bau Hangit

28Jul2008

Cara menghilangkan bau hangit termasuklah hangit nasi atau masakan-masakan lain adalah dengan masukkan dua atau tiga tangkai cili kering ke dalam periuk. Kemudian tutup dan biarkan seketika. Insya-Allah bau hangit itu akan hilang.

Mengelakan Beras Berkutu

28Jul2008

1. Masukkan beberapa helai daun limau purut ke dalam simpanan beras .
2. Masukkan 3 atau 6 biji lada kering ke dalam simpanan beras.

Hilangkan Lemak Ayam

23Jul2008

Basuh ayam dengan mengunakan tepung gandum dengan sedikit air selepas tu bolehlah ia nya di bersih semula dan sedia untuk dimasak.

Membersihkan Minyak Gorengan

23Jun2008

Ambil beberapa keping asam keping dan masukkan kedalam kuali bersama bahan gorengan. Asam keping tadi akan menyerap kehitaman pada minyak gorengan dan hasilnya anda dapat menggunakan minyak gorengan tadi beberapa kali.

Cili giling terlalu pedas

20Jun2008

Masakan yang menggunakan cili kering yang digiling sememangnya sedap. Tetapi, jika cili terlalu pedas, mungkin mengakibatkan sakit perut. Untuk mengurangkan pedas cili tersebut, goreng seketika cili kering dengan minyak. Kemudian, tos dan gilingkan cili tersebut. Pedasnya akan berkurangan dan warna cili tersebut akan kelihatan lebih cantik.

Memotong buah-buahan

20Jun2008

Sebelum memotong buah-buahan, pisau hendaklah disapu dengan limau nipis terlebih dahulu. Dikatakan limau nipis mengelak potongan buah-buahan daripada menjadi lebam.

Mudah mengopek kerang

20Jun2008

Mudahkan mengopek kerang dengan mencampurkan sesudu minyak masak ke dalam air rebusan. Nescaya kerang akan tebuka sedikit dan memudahkan anda mengopeknya nanti.

Copyright © 2008 - Petua Dapur - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template - Optimise by AdsenseBlogTemplate